TOKOH kewartawanan dan penyiaran sukan tanah air, Abu Bakar Atan kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran tersebut.
Pengiktirafan itu diterima sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Abu Bakar bukan nama asing dalam dunia media sukan negara apabila memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang kewartawanan dan penyiaran.
Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan sukan di Berita Harian pada 1984 sebelum menjadi antara kumpulan pengasas Harian Metro.
Kariernya kemudian berkembang ke kaca televisyen apabila beliau menyertai TV3 dan dikenali sebagai pembaca berita serta pengulas sukan, khususnya dalam segmen sukan Buletin Utama. Beliau berkhidmat di TV3 sehingga 2021, dengan pengalaman hampir tiga dekad dalam penyiaran.
Selain menjadi pengulas, Abu Bakar turut terlibat dalam program dan forum berkaitan sukan sebagai moderator serta pengendali perbincangan.
Pengalaman luasnya menjadikan beliau antara figura yang cukup sinonim dengan penyiaran sukan di Malaysia.
Beliau juga pernah menerajui Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai presiden, selain terus aktif dalam bidang media dan sukan selepas meninggalkan TV3.
Pada 2025, sumbangan lebih tiga dekad beliau dalam kewartawanan sukan turut mendapat pengiktirafan apabila Abu Bakar dinobatkan sebagai Legenda AIPS Asia, sekali gus mengukuhkan rekod panjang beliau dalam industri media sukan.
Kini bergelar Dato’, perjalanan Abu Bakar Atan terus menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan kewartawanan dan penyiaran sukan tanah air.