Arsenal Tak Pernah Tarik Brek Tangan
Mikel Arteta sekali lagi menjadi tumpuan selepas Arsenal dihambat kritikan kerana dianggap bermain terlalu berhati-hati ketika seri 1-1 menentang Manchester City di Emirates.
Pundit Sky Sports, Jamie Carragher dan Gary Neville, lantang menyuarakan pandangan bahawa The Gunners seakan-akan bermain dengan “handbrake on”. Carragher malah menyifatkan 45 minit pertama Arsenal sebagai “buang masa”, sementara Neville mendesak supaya Arsenal “lepas brek tangan” untuk bermain lebih berani.
Namun, Arteta menolak keras dakwaan itu. Baginya, skuad Arsenal sudah cukup menyerang, malah bermula dari posisi paling belakang.
Beliau memberi contoh penjaga golnya yang dianggap paling menyerang dalam liga, dua bek sisi yang sentiasa agresif dan seorang pemain tengah seperti Martin Zubimendi yang sebenarnya mampu berfungsi sebagai penggerak serangan.
“Kalau tengok skuad kami, dari penjaga gol sampai ke penyerang, semuanya ada DNA menyerang.
"Kami main dengan pemain tengah kanan yang musim lalu beraksi sebagai No.9 dan kami letak tiga pemain depan yang memang berbisa.
"Macam mana boleh kata kami tak menyerang?” tegas Arteta.
Jurulatih Sepanyol itu juga tidak mahu terlalu memikirkan kritikan dari luar. Katanya, fokus utama adalah kepada apa yang dirasakan betul oleh kelab dan pasukannya.
Arteta menyebut bahawa beliau lebih terinspirasi dengan komen positif daripada jurulatih, CEO dan presiden kelab lain yang kagum dengan corak permainan Arsenal berbanding kata-kata negatif dari studio televisyen.
“Saya tak boleh buang tenaga untuk yakinkan orang yang dah memang rasa kami terlalu berhati-hati.
"Tengok saja rekod kemenangan, jumlah gol, clean sheet dan cara kami bermain lawan City.
"Itu bukti nyata.
"Saya lebih terisi dengan semangat bila dengar pujian dari mereka yang faham bola sepak.”
Bagi Arteta, identiti Arsenal jelas – menyerang dengan variasi, bijak dalam taktikal dan kukuh dalam bertahan.
Kritikan daripada pundit mungkin bising di luar, tetapi di dalam kelab, keyakinan semakin menebal.
Arsenal kini terus memburu momentum untuk mengekalkan saingan di puncak liga. Bagi Arteta, sama ada dikritik atau dipuji, satu perkara pasti: The Gunners tidak akan tunduk kepada naratif luar.
Mereka kekal dengan cara mereka sendiri dan itu, kata Arteta, sudah cukup untuk membuktikan Arsenal bukan pasukan yang “main brek tangan”.