Gol Sulung Eze Buat Gooners Melompat, Arteta Tak Henti Pujian.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya selepas menyaksikan Eberechi Eze meledak gol pertama bersama The Gunners dalam kemenangan 2-0 menewaskan Port Vale di saingan Carabao Cup, awal pagi Khamis.
Eze yang kembali ke Arsenal dengan harga £60 juta dari Crystal Palace musim panas lalu, hanya memerlukan lapan minit untuk membuka akaun jaringannya di Vale Park. Walaupun gol awal itu tampak cukup untuk menjamin kemenangan, Arsenal terpaksa menunggu sehingga minit ke-86 sebelum Leandro Trossard menyempurnakan jaringan kedua untuk menutup malam penuh bergaya.
Eze Jadi Inspirasi Serangan
Arteta mengakui Eze adalah pemain paling menonjol dalam barisan serangan Arsenal ketika menentang lawan daripada League One itu. Walaupun Port Vale bermain dengan formasi padat 5-4-1, Eze masih mampu mencari ruang dan mencipta beberapa peluang berbahaya.
“Dia bermain sangat central menentang pasukan yang super-kompak. Dia ada kemampuan mencipta peluang, malah ada tiga atau empat aksi yang hampir menghasilkan gol.
“Dia masih perlu lebih masa untuk serasi dengan rakan sepasukan, memahami timing dan pergerakan. Bila itu berlaku, kualitinya akan lebih konsisten dan lebih baik untuk kami.
"Saya yakin masih banyak lagi yang dia boleh berikan.” jelas Arteta.
Pemain Serba Boleh
Sejak menyarung jersi Arsenal, Eze sudah diturunkan di pelbagai posisi – dari sayap kiri, kanan, hingga ke tengah menyerang. Bagi Arteta, fleksibiliti itu adalah kelebihan besar kerana ia membolehkan Arsenal menyesuaikan diri dengan corak lawan.
“Kami mahu dia berada di ruang di mana dia boleh cipta magic moments. Kadang dari sisi, kadang dari tengah. Bergantung pada situasi lawan,” tambah Arteta.
Skuad Semakin Dalam, Persaingan Sengit
Kemenangan ini turut menyaksikan beberapa muka baharu diuji. Kepa Arrizabalaga melakukan debut di gawang dengan clean sheet, Christian Norgaard membuat penampilan pertama di tengah, manakala Max Dowman yang baru berusia 15 tahun sekali lagi diberi peluang dan terus menunjukkan keserasian dengan pasukan.
Bukayo Saka juga kembali beraksi sejam penuh selepas pulih daripada kecederaan hamstring, berita yang cukup melegakan penyokong menjelang aksi penting menentang Newcastle hujung minggu ini.
Arteta dalam nada gembira turut mengakui bahawa kedalaman skuad kini memberi “sakit kepala tapi manis” buat dirinya.
“Inilah yang kita mahu – pemain-pemain yang buat saya pening kepala nak pilih. Itu tandanya semua betul-betul berhubung dengan pasukan, semua nak bantu. Dan saya yakin semua akan dapat banyak minit musim ini.”
Dengan Eze mula menyesuaikan diri, Saka kembali segar dan skuad semakin seimbang, Arsenal kini benar-benar kelihatan bersedia mencabar di semua pentas musim ini.