Tumpuan menjelang Piala Dunia FIFA 2026 kini bukan sahaja tertumpu kepada persiapan kejohanan, malah turut dibayangi kontroversi apabila badan induk bola sepak dunia itu berdepan tindakan undang-undang bernilai AS$25 juta (RM99 juta) di Amerika Syarikat.
Seorang artis mural terkenal, Wyland, memfailkan saman terhadap FIFA dan beberapa pihak berkaitan selepas karya seni ikonik miliknya di pusat bandar Dallas didakwa ditutup sepenuhnya tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.
Mural setinggi lapan tingkat yang dikenali sebagai Ocean Life atau Whaling Wall 82 itu telah menjadi sebahagian daripada landskap bandar Dallas sejak tahun 1999. Ia memaparkan pelbagai hidupan marin dan dihasilkan sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu pencemaran lautan.
Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Texas, mural tersebut mula dicat semula pada bulan lalu sebelum sebahagian besar karya berkenaan akhirnya ditutup sepenuhnya dengan warna biru menjelang pertengahan Mei.
Tindakan itu dipercayai berkait dengan usaha memperindah kawasan bandar sempena Piala Dunia 2026. Sebelum ini, Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia FIFA North Texas memaklumkan mural lama berkenaan akan digantikan dengan karya seni baharu bagi menyemarakkan suasana menjelang kejohanan terbesar dunia itu.
Bagaimanapun, pihak Wyland mendakwa proses tersebut melanggar undang-undang persekutuan Amerika Syarikat yang memberi perlindungan kepada karya seni awam yang mempunyai nilai dan pengiktirafan tertentu. Mereka turut menegaskan artis berkenaan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen yang membenarkan mural tersebut dipadamkan atau dimusnahkan.
Kes itu turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penduduk Dallas yang melihat mural berkenaan sebagai salah satu mercu tanda seni awam bandar tersebut. Malah, beberapa figura terkenal termasuk penyanyi kelahiran Texas, Kacey Musgraves, dilaporkan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tersebut.
Wyland sendiri sebelum ini menggunakan platform media sosial untuk mengkritik keputusan berkenaan dan mendakwa salah satu karya paling penting dalam koleksi muralnya telah dimusnahkan.