Chelsea mungkin perlu tengok cermin lama-lama selepas jual Noni Madueke ke Arsenal pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Bukan saja peminat terkejut, malah laporan dalaman kelab Stamford Bridge sebenarnya dah beri amaran awal – Madueke patut dikekalkan kerana potensinya masih besar.
Namun, keputusan berbeza dibuat dan kini Arsenal yang tersenyum lebar.
Ketika rundingan berlangsung, suasana agak panas.
Ramai penyokong Arsenal pada awalnya tak setuju dengan langkah ini.
Malah, ada petisyen dalam kalangan peminat yang menolak pembelian Madueke kerana menganggap ia membazir.
Persoalan utama: kenapa perlu beli seorang lagi winger kidal sedangkan Bukayo Saka sudah jadi tunjang utama di posisi itu?
Lebih pelik, proses mendapatkan Madueke berjalan pantas berbanding dengan saga panjang rundingan Viktor Gyokeres yang hampir sahaja gagal.
Ramai melihat ia sebagai pembelian panik, tetapi Mikel Arteta ternyata sudah ada percaturan lain.
Dalam sidang media baru-baru ini, Arteta sendiri mengakui bahawa sikap Madueke sepanjang proses perpindahan banyak meyakinkannya.
Ketika dihentam kritikan, pemain muda itu tidak goyah.
Sebaliknya, dia menunjukkan mentaliti kental – sesuatu yang amat digemari Arteta dalam membina skuad juara.
Kini, selepas beberapa bulan bersama The Gunners, Madueke mula menjawab segala keraguan dengan prestasi di atas padang.
Dia mempamerkan keyakinan, kepantasan dan kreativiti yang membuatkan Arsenal ada “senjata rahsia” baru.
Charles Watts, wartawan yang rapat dengan kelab, turut memuji ketenangan Madueke menghadapi tekanan sejak hari pertama.
Chelsea pula?
Mereka dilihat menyesal kerana terlalu cepat membuat keputusan menjual.
Andrea Berta dan pasukan rekrut Arsenal jelas nampak peluang yang tidak disedari lawan.
Dengan usia muda dan ruang perkembangan luas, Madueke boleh jadi pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.
Bagi Arsenal, kehadiran Madueke bukan untuk menyingkirkan Saka, tetapi memberi kelab lebih banyak pilihan.
Dalam liga moden, skuad yang ada kedalaman kualiti adalah penentu kejayaan.
Dengan Madueke, Arteta bukan saja ada “backup”, tetapi juga seorang pemain yang mampu cabar posisi utama dan tingkatkan tahap persaingan dalam pasukan.
Kesimpulannya, Chelsea mungkin fikir mereka buat bisnes bijak, tetapi realitinya Arsenal yang dapat keuntungan besar.
Dari pemain yang kononnya tak diperlukan, Madueke kini muncul sebagai bintang baru yang buat Gooners teruja.