“Tak Betul-Betul Masuk Dalam Kepala” – bintang Arsenal, Timber akui pernah ragu lepas cedera ngeri, kini kembali yakin.
Bintang Arsenal, Jurrien Timber, akhirnya buka rahsia pedih yang pernah menghantui hidupnya – cedera lutut ngeri yang buat dia hilang satu musim penuh, sekaligus hampir runtuhkan impiannya di Emirates.
Pemain pertahanan Belanda berusia 23 tahun itu, yang direkrut Arsenal dari Ajax dengan harga €40 juta, jadi watak malang sebaik sahaja debut pertama apabila ligamen lututnya koyak! Seluruh dunia Gunners ketika itu terdiam, seolah-olah mimpi buruk jadi kenyataan.
“Masa doktor beritahu saya koyak ACL, kepala saya kosong. Saya baru buat perpindahan besar… tak pernah cedera serius sebelum ni. Tiba-tiba kena buang satu musim penuh. Rasa macam jatuh gaung. Emosi saya memang hancur,” luah Timber dalam temubual eksklusif bersama Helden.
Sepanjang 253 hari di neraka rawatan, Timber terpaksa gigit bibir tengok rakan sepasukan berjuang di padang, sementara dia hanya mampu duduk tepi – ketinggalan 53 perlawanan bersama Arsenal dan Belanda.
Namun kini, selepas kerja keras tanpa henti, Timber kembali gagah! Di bawah sentuhan Mikel Arteta, dia sudah catat lebih 50 penampilan dan yakin sepenuhnya lututnya bukan lagi penghalang.
“Saya tak peduli harga perpindahan, saya cuma nak fit balik. Keyakinan daripada jurulatih dan rakan sepasukan memang jadi pembakar semangat. Musim lepas saya turun padang tanpa sebarang rasa ragu. Saya tahu saya masih ada kelebihan tu,” tegasnya penuh berani.
Dari detik gelap ke kemuncak kebangkitan, Timber kini bersedia jadi tembok kebal Arsenal – kisah bangkitnya seakan filem epik yang baru sahaja bermula!