BBC Sport puji aksi Jeremy Doku yang ‘berkorban diri’ ketika City seri dengan Arsenal
Manchester City terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 menentang Arsenal di Stadium Etihad selepas gol penyamaan lewat masa tambahan daripada Gabriel Martinelli meranapkan harapan skuad Pep Guardiola untuk kutip tiga mata penuh.
City bermula garang apabila Erling Haaland meledak gol pendahuluan pada separuh masa pertama, namun keputusan Guardiola mengeluarkan penyerang utama itu di babak kedua menimbulkan persoalan – malah Gary Neville sendiri sempat mempersoalkannya ketika mengulas di siaran langsung.
Doku terima pujian, bukan kerana gol
Walaupun tidak menjaringkan gol atau mencipta assist, nama Jeremy Doku tetap jadi sebutan.
Bekas penjaga gol England, Rob Green dalam ulasan BBC Radio 5 Live memuji sayap lincah Belgium itu kerana ‘berkorban’ untuk pasukan.
“Doku buat kerja yang sangat bagus.
"Dia mungkin tak berada di posisi yang dia mahu, tak dekat dengan pintu gol, tapi dia banyak pecahkan permainan Arsenal dari kawasan tinggi.
"Dia korbankan diri untuk bantu City naikkan blok permainan,” kata Green.
Doku akhirnya dikeluarkan pada minit ke-87 digantikan Savinho, ketika Guardiola cuba kekalkan kelebihan tipis – namun percaturan itu tidak berhasil apabila Martinelli menyamakan kedudukan.
Statistik & impak Doku
Setakat musim 2025/26, Doku sudah catat:
-
6 penampilan semua kejohanan
-
1 gol
-
2 assist
Walaupun rekod jaringan beliau di EPL tidak pernah lebih tiga gol semusim, Doku membuktikan dirinya masih penting.
Golnya ketika menentang Napoli di UCL baru-baru ini dan dua assist dalam lima aksi liga menunjukkan sumbangan taktikalnya lebih luas daripada sekadar angka di atas kertas.
Harapan Guardiola
Dengan Liverpool kini lapan mata di hadapan di puncak liga, City perlukan semua pemain utama mengekalkan prestasi, termasuk Doku yang sudah tunjuk disiplin tinggi dalam sistem Guardiola.
City selepas ini akan mengalihkan fokus ke aksi Piala Carabao menentang Huddersfield Town pada 24 September – peluang terbaik untuk mereka kembali mencatatkan rekod kemenangan.