Dunia bola sepak Asia Tenggara digemparkan dengan pengumuman rasmi bahawa legenda Jepun, Keisuke Honda bakal menyertai kancah Liga Singapura (SPL) bagi musim 2026/27. Honda secara rasmi akan menyarung jersi FC Jurong, entiti baharu yang dijenamakan semula daripada kelab gergasi, Albirex Niigata Singapore. Kehadiran bekas bintang AC Milan ini bukan sekadar satu perpindahan pemain biasa malah ia merupakan sebahagian daripada visi besar kelab untuk meletakkan nama mereka di persada Asia dan memperkasakan ekosistem bola sepak di Republik itu.
Bagi Honda yang bakal menginjak usia 40 tahun pada Jun ini, penghijrahan ke Singapura merupakan satu lagi pengembaraan dalam karier globalnya yang luar biasa. Beliau mendedahkan bahawa antara motivasi utamanya adalah untuk mengejar rekod dunia bagi jaringan gol dalam liga utama di negara paling banyak. Sebelum ini, Honda telah pun berkelana di pelbagai liga di Jepun, Belanda, Rusia, Itali, Mexico, Australia, Brazil, Azerbaijan, Lithuania dan terbaru di Bhutan bersama Paro FC.
Disebalik misi peribadi tersebut, Honda menegaskan bahawa keutamaan beliau bersama FC Jurong adalah untuk menjulang kejuaraan liga. Beliau mengakui cabaran di Singapura tidak akan mudah memandangkan terdapat beberapa pencabar kuat yang sedia menanti. Namun azamnya tetap teguh untuk membawa kejayaan buat kelab di bawah nama baharu ini. Pengalaman luas beliau beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia serta mencetak gol dalam kesemuanya dilihat sebagai aset paling berharga yang boleh ditawarkan kepada rakan sepasukan.
Pengerusi FC Jurong, Daisuke Korenaga, menyifatkan pelantikan Honda sebagai "batu asas" (cornerstone) kepada projek pembangunan kelab untuk tempoh 100 tahun akan datang. Menurut beliau, musim 2026/27 merupakan lembaran pertama FC Jurong dan kehadiran pemain berkelas dunia seperti Honda amat diperlukan untuk membina identiti pasukan yang berasaskan kerja keras, semangat kerjasama dan penguasaan permainan. Korenaga percaya visi dan minat yang dibawa oleh Honda akan memberikan inspirasi yang tidak ternilai buat komuniti bola sepak tempatan.
Sepanjang karier profesionalnya yang menjangkau lebih dua dekad, Honda telah mengumpul 503 penampilan dan meledak 107 gol di pelbagai peringkat kelab antarabangsa. Pencapaian paling ikonik beliau sudah pastinya ketika menyarung jersi No. 10 di AC Milan serta menjadi tonggak utama pasukan kebangsaan Jepun dengan 98 kaps. Profil hebat ini menjadikan beliau pemain paling berprestij yang pernah menjejakkan kaki ke Liga Singapura dalam sejarah moden, sekali gus menarik perhatian peminat bola sepak di seluruh rantau ini.
Pihak pengurusan FC Jurong mengharapkan agar mentaliti juara yang dimiliki Honda dapat meresap ke dalam jiwa pemain muda di Singapura. Selain sumbangan di atas padang, Honda dijangka memainkan peranan sebagai mentor dalam meletakkan asas pertumbuhan kelab yang berterusan. Dengan penjenamaan semula daripada Albirex Niigata Singapore kepada FC Jurong, kelab ini ingin menunjukkan keseriusan mereka untuk menjadi lebih inklusif dan kompetitif bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat benua.
Kini, seluruh peminat bola sepak di Singapura dan Asia menantikan aksi sulung "The Emperor" di Stadium Jurong East. Perpindahan ini dijangka bakal melonjakkan nilai komersial liga serta meningkatkan kualiti persaingan secara drastik. Adakah Honda mampu merealisasikan impian memburu rekod dunia sambil membawa FC Jurong ke puncak liga?