Presiden FIFA, Gianni Infantino memberi isyarat terbuka untuk menyokong peningkatan agihan dana kepada persatuan anggota badan induk bola sepak dunia itu, susulan tuntutan supaya sebahagian daripada rizab tunai FIFA bernilai AS$6 bilion disalurkan kepada anggota.
Dalam surat yang dihantar kepada enam presiden konfederasi pada Isnin dan turut disalin kepada anggota Majlis FIFA, Infantino menyatakan kesediaannya untuk menyokong “tahap pembiayaan tambahan terbesar” yang boleh diberikan secara bertanggungjawab. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan komitmen khusus terhadap cadangan AS$10 juta bagi setiap daripada 211 anggota FIFA.
Cadangan itu dikemukakan sebelum ini oleh Presiden UEFA, Aleksander Ceferin dan Presiden Concacaf, Victor Montagliani, yang menggesa setiap anggota menerima sekurang-kurangnya AS$10 juta bagi kitaran komersial 2027 hingga 2030. Cadangan berkenaan kemudiannya mendapat sokongan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa.
Menurut Infantino, semua cadangan berkenaan akan dibawa untuk pertimbangan Majlis FIFA dalam mesyuarat pada 15 Oktober 2026, selepas Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafström menyatukan semua cadangan yang diterima. Sebelum ini, skim Fifa Forward Enterprise (FFE) yang akhirnya ditarik balik dicadangkan untuk memberikan tambahan AS$20 juta kepada setiap persatuan anggota dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan tambahan AS$20 juta lagi bagi anggota yang mendaftar sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Infantino dalam surat sama menegaskan beliau tidak mahu menetapkan jumlah agihan terlebih dahulu, sebaliknya menyatakan sokongan terhadap tahap pembiayaan tambahan yang boleh dilaksanakan secara bertanggungjawab melalui proses tadbir urus FIFA. Beliau turut menekankan keperluan terhadap penilaian kewangan, tadbir urus serta mekanisme pelaksanaan yang telus dan boleh diaudit.
Beliau juga mempertahankan cadangan FFE yang telah ditarik balik itu sebagai usaha untuk meningkatkan pelaburan FIFA dalam pembangunan bola sepak, bukannya menggantikan bantuan yang boleh disalurkan daripada sumber sedia ada. Perbincangan mengenai jumlah dan mekanisme agihan seterusnya dijangka menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam mesyuarat Majlis FIFA pada 15 Oktober depan.