Malam di Vale Park akan diingati penyokong Arsenal sebagai detik bersejarah buat Eberechi Eze.
Eze akhirnya berjaya buka akaun gol pertamanya bersama The Gunners. Tapi bagi Port Vale, ia jadi malam penuh keberanian, bila mereka berjaya lawan gergasi Premier League sampai ke hujung wisel, walaupun akhirnya tewas 2-0 dalam aksi Carabao Cup.
Arsenal bermula garang dan tak tunggu lama untuk ambil kesempatan. Minit ke-8, gerakan cantik bermula daripada Martinelli, dibantu dummy bijak Myles Lewis-Skelly, sebelum Eze dengan tenang melepaskan rembatan menewaskan Joe Gauci.
"Saya tunggu lama untuk gol pertama ni dan memang sangat istimewa," kata Eze selepas perlawanan.
Walaupun dikuasai Arsenal dengan hampir 80% penguasaan bola, Vale tetap tampil dengan semangat luar biasa di hadapan penyokong teramai mereka abad ini. Mereka cuba gunakan corak permainan terus, lontaran jauh dan pressing tanpa henti untuk ganggu rentak The Gunners.
Arteta sendiri mengaku anak buahnya hilang kawalan seketika pada babak kedua:
“Kami hilang sedikit dominasi, terutama dengan hantaran jauh dan lontaran ke kawasan kami."
Bukayo Saka pula jadi sasaran penyokong tuan rumah. Aksi hambar dan kerap berundur buatkan dia diboo ketika dikeluarkan pada minit ke-63. Vale makin berani, malah hampir samakan kedudukan selepas kesilapan Cristhian Mosquera. Rembatan deras Devante Cole hanya melintasi palang – buat Kepa yang tampil sulung bersama Arsenal berpeluh seketika.
Namun, pengalaman jelas membezakan dua pasukan.
Minit terakhir, hantaran jauh William Saliba singgah ke kaki Leandro Trossard. Pemain gantian itu kawal bola dengan tenang sebelum melepaskan sepakan padu ke penjuru bawah gawang – sekaligus membunuh semangat kebangkitan Port Vale.
Darren Moore, jurulatih Vale tetap bangga: "Stadium penuh malam ni, suasana luar biasa. Kalau kami boleh bawa semangat ni ke liga, saya yakin kami mampu pergi jauh. Kami lawan pasukan elit dengan pengurus hebat, saya bangga dengan pemain saya.”
Arsenal mungkin tak beraksi dengan penuh meyakinkan, tapi misi utama tercapai – mara ke pusingan seterusnya Carabao Cup dengan wira baru bernama Eberechi Eze.