Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 1-1 oleh wakil Hong Kong, Kitchee SC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin.
Keputusan itu menyaksikan hasrat Kuching City untuk memburu kemenangan pertama dalam kempen ACL2 masih belum kesampaian, meskipun berpeluang memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Skuad kendalian Aidil Sharin bagaimanapun bermula dengan langkah positif apabila mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan sendiri penjaga gol Kitchee yang gagal mengawal hantaran rakan sepasukan.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Everton Camargo menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan Haziq Nadzli.
Memasuki babak kedua, Kuching City terus berusaha mencari gol kemenangan, termasuk menerusi Petrus Shitembi dan Ajdin Mujagic. Bagaimanapun, beberapa peluang keemasan gagal diterjemahkan kepada jaringan tambahan.
Keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata. Kuching City kini perlu memperkemas penyudah menjelang aksi seterusnya menentang Gangwon FC di Korea Selatan pada 29 Oktober ini.