MARTINEZ MOHON MAAF KEPADA UNITED
Bolasepak UTAMA

MARTINEZ MOHON MAAF KEPADA UNITED

Izzati • 16 Oct 2026 • 300 tontonan • 2 min baca
Pemain pertahanan Argentina itu sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati selepas kekalahan kepada Atletico Madrid.

Lisandro Martinez tampil memohon maaf atas kritikan terbukanya terhadap barisan pengurusan Manchester United selepas mengadakan perbincangan bersama pengarah bola sepak kelab, Jason Wilcox, serta beberapa pegawai utama.

Pemain pertahanan Argentina itu sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati selepas kekalahan kepada Atletico Madrid, dengan mempersoalkan kegagalan pihak pengurusan memberikan sokongan sewajarnya kepada pengurus Michael Carrick ketika jendela perpindahan musim panas.

Martinez kemudian mengadakan perbincangan dengan pihak kelab sebelum mengeluarkan kenyataan terbaharu pada Khamis. Beliau mengakui kekecewaan selepas kekalahan itu menyebabkan dirinya meluahkan perasaan pada waktu dan keadaan yang tidak sesuai.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mengakui kata-katanya tidak membantu usaha menyatukan pasukan, sambil menegaskan semua pihak di Manchester United berkongsi matlamat untuk mengembalikan kejayaan kelab. Beliau juga difahamkan menerima denda susulan insiden berkenaan.

Perkembangan itu memberi kelegaan kepada Carrick yang memerlukan khidmat Martinez menjelang pertemuan menentang Leeds United di Elland Road pada Ahad, terutama ketika beberapa pemain pertahanan utama masih diketepikan akibat kecederaan.

Bagaimanapun, masa depan Martinez di Old Trafford masih belum terjamin apabila kontraknya bakal tamat pada penghujung Jun. Manchester United mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun, sekali gus memberi ruang kepada kelab menentukan langkah seterusnya terhadap pemain yang menyertai mereka dari Ajax dengan nilai perpindahan £57 juta itu.

Iklan

Kongsi artikel ini