Noni Madueke semakin membuktikan dirinya sebagai antara watak penting dalam serangan Arsenal selepas berpindah dari Chelsea dengan harga £52 juta pada musim panas lalu.
Walaupun ramai yang pada awalnya meragui keputusan Mikel Arteta untuk membawa masuk pemain sayap England itu, Madueke terus menunjukkan impak besar – sama ada bersama The Gunners mahupun skuad kebangsaan.
Dalam aksi menentang Liverpool baru-baru ini, Madueke turun menggantikan Bukayo Saka yang cedera hamstring ketika menentang Leeds. Aksi bertenaga di Anfield itu sudah cukup untuk menarik perhatian Gary Neville, yang memuji corak larian dan keyakinan pemain berusia 23 tahun itu.
Dan kini, bersama England, prestasi Madueke makin diperkatakan selepas diberi peluang oleh Thomas Tuchel dalam kemenangan 2-0 menentang Andorra.
Media UK Beri Rating Tinggi
- Metro: 8/10 – “Madueke kelihatan menyala dari awal perlawanan… sukar dikawal pertahanan lawan sehingga memaksa kad kuning.”
- BBC Sport: 7/10 – “Seperti Rashford di sebelah kiri, Madueke sentiasa berani mencabar pertahanan. Umpan silangnya memaksa jaringan sendiri Andorra.”
- Mirror: 7/10 – “Laju, berbahaya dan semakin hampir memastikan tiket ke Piala Dunia 2026.”
Statistik Madueke vs Andorra
- Sentuhan: 75
- Ketepatan hantaran: 87%
- Peluang dicipta: 3
- Percubaan: 2
- xG+xA: 0.73
- Dribble berjaya: 50%
Walaupun rakan sepasukan Arsenal, Declan Rice, mencuri tumpuan dengan jaringan kedua England, Madueke tetap dilihat sebagai pemain paling menyerlah dalam serangan.
Bermain bersama Eberechi Eze, Marcus Rashford dan Harry Kane, Madueke jelas memberi dimensi berbeza di bahagian kanan. Satu-satunya kekurangan hanyalah gol peribadi, tetapi dengan persembahan sebegitu, ia hanya soal masa sebelum namanya meletup lebih besar.
Masa Depan Cerah di Arsenal
Dengan Saka dijangka terus berehat selepas rehat antarabangsa, peluang terbuka luas buat Madueke untuk membuktikan dia layak menjadi pilihan utama Arteta. Jika momentum ini diteruskan, aksi menentang Serbia bakal jadi pentas Madueke mengukuhkan statusnya sebagai senjata baru Arsenal.