Cristhian Mosquera, bintang baharu Arsenal, jelas dengan pendiriannya – beliau mahu sarung jersi Sepanyol di pentas antarabangsa walaupun turut layak mewakili Colombia.
Dalam temubual bersama El Larguero di Sepanyol, Mosquera mengakui hatinya sudah terpaut dengan La Roja:
“Kita tunggu dan lihat, tapi itu matlamat saya (untuk dipanggil Luis de la Fuente). Saya pernah berlatih dengan mereka, pengalaman yang sangat bagus. Luis seorang yang baik, dan saya hanya perlu terus kerja keras di kelab, selebihnya Tuhan yang tentukan.”
Adaptasi pantas di Arsenal
Mosquera, yang tiba dari Valencia musim panas lalu, pantas mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas William Saliba cedera. Aksi mantapnya dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Athletic Club di UCL membuatkan ramai tertanya-tanya tentang masa depan antarabangsanya.
Namun, pemain berusia 21 tahun itu sudah memberi jawapan tegas – Sepanyol jadi pilihan utama.
Faktor rakan senegara bantu keputusan
Kehadiran ramai “geng Sepanyol” di Arsenal – Mikel Arteta, David Raya, Kepa Arrizabalaga, Mikel Merino dan Martin Zubimendi – jadi faktor besar yang memudahkan proses adaptasi Mosquera di London.
“Memang betul ada orang Sepanyol banyak membantu. Untuk kehidupan harian dan adaptasi, sangat memudahkan,” katanya.
Gaya EPL vs La Liga
Mosquera juga mengakui perbezaan corak permainan antara La Liga dan EPL:
“Permainan di sini lebih laju, lebih banyak ‘end to end’. Bila masuk padang, kena betul-betul bersedia dengan intensitinya.”
Dengan prestasi konsisten di Arsenal dan sokongan rakan senegara, peluang Mosquera untuk capai impian bersama Sepanyol semakin cerah!