Spekulasi perpindahan melibatkan penyerang sensasi Argentina, Julian Alvarez, kembali hangat apabila bintang Atletico Madrid itu sendiri memberi bayangan samar mengenai masa depannya.
Pemain berusia 26 tahun itu mencuri perhatian selepas aksi cemerlang menentang Tottenham Hotspur dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara, apabila meledak dua gol dan satu bantuan jaringan untuk membantu Atletico menang 5-2 di Stadium Metropolitano.
Namun kenyataannya selepas perlawanan menjadi topik hangat di Eropah.
Menurut laporan TyC Sports, Alvarez tidak memberi komitmen jelas untuk kekal bersama Atletico musim depan ketika ditanya mengenai masa depannya.
“Saya tak tahu, mungkin ya, mungkin tidak. Saya gembira di sini. Saya fokus hari demi hari dan terus bekerja untuk menjadi lebih baik,” kata Alvarez.
Tambahnya lagi, khabar angin di media sosial sering diperbesarkan walaupun dia sendiri tidak pernah bercakap buruk mengenai kelabnya.
“Masa depan saya? Saya tiada apa untuk dikatakan. Saya gembira di Atleti. Di media sosial orang bercakap macam-macam, sesiapa pun boleh buat spekulasi.”
Arsenal pernah buat tawaran €100 juta
Sebelum ini, Arsenal dilaporkan sudah mengemukakan tawaran sekitar €100 juta ditambah €20 juta bonus, namun cadangan itu ditolak oleh Atletico Madrid.
Pada masa sama, laporan dari Argentina mendakwa Chelsea merupakan kelab yang paling aktif berhubung dengan kem pemain tersebut, menjadikan persaingan antara dua gergasi Liga Perdana Inggeris itu semakin sengit.

Aksi lawan Spurs kembali melonjakkan namanya
Prestasi Alvarez menentang Tottenham turut membuktikan dia kembali berada di landasan terbaik selepas melalui tempoh sukar.
Penyerang Argentina itu sebelum ini kemarau gol selama 16 perlawanan dan 65 hari, sebelum akhirnya memecahkan badi tersebut dalam aksi Copa del Rey menentang Barcelona.
Sejak itu, dia kembali menemui sentuhan jaringan termasuk dalam Liga Juara-Juara menentang Club Brugge serta La Liga ketika berdepan Real Oviedo.
“Saya sentiasa tenang. Ada masa perkara tidak menjadi, tetapi saya sentiasa beri 100% di atas padang,” jelasnya.
Masa depan masih terbuka
Buat masa ini Atletico berada di tangga ketiga La Liga dengan 54 mata dan bakal berdepan Real Sociedad dalam final Copa del Rey.
Namun dengan minat kuat dari Liga Perdana Inggeris, khususnya Arsenal dan Chelsea - dengan kenyataan “mungkin ya, mungkin tidak” daripada Alvarez sudah cukup untuk menyalakan kembali spekulasi perpindahan bernilai €100 juta itu.