PERES SELAMATKAN KUCHING CITY
Shopee Cup UTAMA

PERES SELAMATKAN KUCHING CITY

Izzati • 8 Oct 2026 • 513 tontonan • 2 min baca
Tuan rumah sebenarnya berdepan situasi sukar apabila ketinggalan seawal minit ke-13.

Kuching City terpaksa berkongsi mata dengan Tampines Rovers selepas aksi pembukaan Shopee Cup berakhir dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Taha Ariffin.

Tuan rumah sebenarnya berdepan situasi sukar apabila ketinggalan seawal minit ke-13. Kesilapan ketika cuba mengeluarkan bola memberi ruang kepada Yositaka Furusawa untuk menghukum pertahanan Kuching City dan meletakkan wakil Singapura itu di hadapan.

The Cats cuba mengubah rentak permainan selepas jaringan tersebut, dengan Safawi Rasid antara pemain yang menjadi tumpuan dalam usaha mereka mencipta peluang. Namun, beberapa percubaan yang hadir masih belum cukup untuk menewaskan benteng Tampines Rovers sehingga tamat babak pertama.

Kuching City terus meningkatkan tekanan selepas rehat dan akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila Gabriel Peres muncul menyamakan kedudukan. Gol tersebut kembali menghidupkan harapan tuan rumah untuk memburu kemenangan dalam aksi sulung mereka.

Bagaimanapun, Tampines Rovers kembali mengejutkan Kuching City apabila Koya Kazama meledak gol kedua pada minit ke-88. Ketika tiga mata seakan-akan sudah berada dalam genggaman pelawat, Peres sekali lagi menjadi watak penting.

Pertahanan dari Brazil itu menyelamatkan The Cats pada masa kecederaan menerusi jaringan keduanya dalam perlawanan, sekali gus memastikan Kuching City tidak memulakan kempen dengan kekalahan di laman sendiri.

Kuching City kini mempunyai satu mata sebelum mengalihkan perhatian kepada pertemuan menentang Borneo FC Samarinda pada 9 Disember. Tampines Rovers pula dijadualkan bertemu Manila Digger pada 18 November.

Iklan

Kongsi artikel ini