Thailand meneruskan langkah lebih positif dalam saingan Kumpulan B FIFA ASEAN Cup 2026 apabila menewaskan Vietnam 2-0 dalam perlawanan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, kelmarin.
Jaringan awal Sarach Yooyen pada minit ke-10 menjadi pemisah pada babak pertama selepas rembatan kencangnya menerjah penjuru atas gawang Vietnam.
Vietnam cuba mencari jalan untuk kembali dalam permainan, malah Tai Loc sempat menjaringkan gol pada minit ke-37. Namun, jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mendapati pemain berkenaan berada dalam kedudukan ofsaid.
Selepas rehat, Vietnam lebih banyak menguasai bola dan berusaha memburu gol penyamaan, tetapi Thailand kekal tersusun untuk menyerap tekanan.
Beberapa peluang turut hadir buat Thailand untuk menambah jaringan, termasuk sepakan percuma Yooyen yang terkena tiang pada minit ke-52.
Vietnam terus mencuba sehingga penghujung permainan, namun barisan pertahanan Thailand berjaya mengekang percubaan mereka sebelum Chaiyaphon Otton menghukum menerusi serangan balas pada minit ketiga masa tambahan.
Otton menyudahkan hantaran ke ruang terbuka untuk memastikan Thailand membawa pulang kemenangan 2-0, sekali gus meneruskan perjalanan yang baik dalam saingan Kumpulan B.
Untuk pengetahuan, kemenangan 2-0 ini telah memastikan tempat Thailand ke final FIFA ASEAN Cup, selepas memiliki kelebihan head-to-head ke atas Vietnam andainya keputusan tidak memihak anak buah Anthony Hudson pada aksi terakhir kumpulan nanti.
Perlawanan terakhir Kumpulan B bakal menemukan Thailand dan Filipina manakala Vietnam dijadualkan turun berdepan Pakistan yang baru melakar kejutan dengan mengikat The Azkals 2-2 pada aksi kedua di sebelah petang kelmarin.