Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memberi tempoh sehingga 2 November ini kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjawab lebih 50 soalan berkaitan isu tadbir urus dan keputusan badan induk bola sepak dunia itu sepanjang 12 bulan lalu.
Tuntutan itu dikemukakan menerusi surat Setiausaha Agung UEFA, Theodore Theodoridis kepada rakan sejawatannya di FIFA, Mattias Grafström, bersama dokumen lapan halaman yang menyenaraikan pelbagai persoalan berbangkit.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk cadangan penjualan 20 peratus hak komersial FIFA, hubungan presidennya, Gianni Infantino dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta persiapan menjelang pemilihan presiden FIFA tahun depan.
UEFA turut membangkitkan kemungkinan konflik kepentingan dalam organisasi itu selain menggesa pelaksanaan semakan tadbir urus yang benar-benar bebas bagi meningkatkan ketelusan dalam setiap keputusan.
Theodoridis menegaskan bahawa penjelasan sebelum ini masih belum menjawab persoalan asas yang dikemukakan anggota Majlis FIFA. Beliau turut meminta setiap jawapan disertakan dokumen sokongan dan menegaskan isu berkenaan tidak boleh ditangguhkan sehingga mesyuarat seterusnya di Doha pada 16 Disember.
Selain itu, UEFA turut menuntut penjelasan mengenai pemindahan lokasi undian Piala Dunia lelaki dari Las Vegas ke Washington DC, pelaksanaan rehat minum pemain serta tempoh rehat separuh masa selama 27 minit pada final Piala Dunia. Infantino dijangka mempertahankan jawatannya pada pemilihan tahun depan, namun UEFA dilaporkan sedang mencari calon untuk mencabarnya.