Nama William Saliba kembali jadi tumpuan hangat di Eropah selepas laporan dari Sepanyol mendedahkan Real Madrid menjadikannya sasaran utama bagi memperkukuh benteng musim depan.
Malah, selain Saliba, dua lagi bek tengah Perancis iaitu Ibrahima Konate (Liverpool) dan Dayot Upamecano (Bayern Munich) turut berada dalam senarai.
Namun, realitinya, peluang Los Blancos untuk mengusik Arsenal bukanlah mudah. Menurut laporan AS, Saliba dianggap “irreplaceable” dalam projek jangka panjang Mikel Arteta. Sejak bergandingan bersama Gabriel Magalhaes, pemain berusia 24 tahun itu telah membentuk duet pertahanan paling mantap dalam Liga Perdana Inggeris.
Bagi Arteta, Saliba adalah tonggak utama yang tidak boleh diganti – satu harta karun yang nilainya jauh melebihi angka di pasaran.
Ketika Konate dan Upamecano hanya memiliki kontrak sehingga 2026 – menjadikan mereka lebih mudah didekati kerana kelab bimbang nilai merosot jika tidak dijual awal – situasi Saliba berbeza sama sekali. Dia masih memiliki baki kontrak dua tahun di Emirates dengan nilai pasaran dianggarkan sekitar €80 juta. Tambahan pula, Arsenal berada dalam kedudukan kewangan kukuh serta tidak terdesak untuk menjual.
El Desmarque sebelum ini melaporkan kononnya Saliba mahu cabaran baharu di luar England.
Namun, di London, keyakinan Arsenal tetap tinggi bahawa bek tengah Perancis itu akan terus kekal. Malah, Arteta sering menegaskan Saliba bersama Gabriel adalah teras projek yang sedang dibina di Emirates. Dalam erti kata lain, menjual Saliba bukanlah opsyen – kerana ia akan meruntuhkan asas yang sudah dibina selama ini.
Kepentingan Saliba kepada Arsenal bukan sekadar pada kualiti bertahan. Dia adalah simbol kestabilan, keberanian dan masa depan kelab. Kehadirannya memastikan Arsenal mampu bersaing dengan pasukan elit lain seperti Manchester City dan Liverpool. Statistik juga membuktikan Arsenal jauh lebih sukar ditembusi apabila Saliba berada di atas padang – satu faktor yang membuatkan Arteta sanggup berjuang habis-habisan mempertahankannya.
Real Madrid mungkin terkenal dengan kekuatan kuasa beli mereka, namun kali ini, segalanya tidak bergantung pada wang semata-mata. Untuk mendapatkan Saliba, mereka bukan sahaja perlu mengeluarkan tawaran mega, malah perlu mengubah minda Arsenal yang jelas mahu menjadikannya jantung pasukan untuk dekad akan datang.
Kesimpulannya, selagi Arteta masih di kerusi pengurus, William Saliba adalah “no go zone”.
€80 juta mungkin nampak besar di kertas, tetapi bagi Arsenal, harga sebenar Saliba jauh lebih mahal – kerana dia bukan sekadar pemain, tetapi kunci kejayaan dan masa depan kelab.
Buat masa ini, Real Madrid boleh terus memantau. Tetapi bagi penyokong Arsenal, mesejnya jelas: Saliba bukan untuk dijual, titik!