Real Madrid sekali lagi mengintai peluang untuk menjerat benteng kental Arsenal, William Saliba, selepas gagal mendapatkannya pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Laporan AS mendedahkan bahawa Saliba masih menjadi sasaran utama Los Blancos, malah namanya kini semakin kuat disebut sebagai ‘pemimpin’ baharu di benteng Bernabeu.
Huijsen lebih murah, Saliba terlalu mahal
Pada musim panas lalu, Real Madrid sebenarnya sudah mengatur langkah untuk memancing Saliba, tetapi akhirnya mereka memilih Dean Huijsen dari Bournemouth.
Pilihan itu dibuat kerana Huijsen memiliki klausa pelepasan €58 juta, manakala harga Saliba dijangka jauh lebih tinggi dan boleh menjerut bajet perpindahan mereka.
Namun begitu, Xabi Alonso tetap melihat keperluan besar untuk membawa masuk pertahanan kelas dunia musim depan, memandangkan beberapa tonggak senior sudah berada di hujung karier.
Pertahanan rapuh, masa depan kabur
Skuad Real Madrid ketika ini memiliki lima pertahanan tengah, tetapi hanya Huijsen dan Raul Asencio dianggap selamat.
Eder Militao terus dihantui kecederaan jangka panjang, manakala kontrak David Alaba dan Antonio Rudiger akan tamat pada 2026.
Situasi ini jelas menandakan Madrid perlukan wajah baharu untuk memperkukuh barisan pertahanan mereka.
Dua nama kini jadi sebutan utama, William Saliba dari Arsenal dan Ibrahima Konate milik Liverpool.
Walaupun kedua-duanya berstatus pemain kebangsaan Perancis, sumber Sepanyol menyatakan Saliba adalah pilihan lebih popular di kalangan pengurusan Madrid.
Arsenal gigih ikat, Madrid pasang perangkap
Di Utara London, Arsenal jelas sedar bahaya yang sedang menanti.
Kontrak Saliba hanya tamat pada 2027, namun kelab sudah pun menawarkan sambungan baharu awal bulan ini.
Tujuannya mudah, menghalang Real Madrid daripada mengambil kesempatan.
Menurut laporan AS, jika Saliba menandatangani kontrak baharu, maka peluang Los Blancos akan tertutup terus.
Tetapi, andai dia menolak, ketika itulah Real boleh menggunakan “kad trump” mereka.
Dengan baki kontrak semakin pendek, Arsenal terpaksa berunding pada harga lebih rendah dan Madrid boleh masuk dengan tawaran lumayan musim panas 2026.
BACA: Arsenal Tawar Kontrak Baharu.
Bom jangka masa depan
Buat masa ini, semua bergantung kepada keputusan Saliba.
Arsenal mahu menjadikan pemain berusia 24 tahun itu sebagai jantung pertahanan jangka panjang, manakala Real Madrid pula menunggu masa untuk meledakkan “bom jangka” jika kontrak lanjutan gagal ditandatangani.
Satu perkara pasti, saga masa depan Saliba bakal jadi antara drama perpindahan paling panas di Eropah dan Bernabeu jelas sedia menanti andai Arsenal silap langkah.
Maklumat Kontrak Saliba
Tarikh tamat kontrak sekarang: Saliba mempunyai kontrak dengan Arsenal sehingga tahun 2027.
Perjanjian baru / usaha lanjutan: Arsenal telah mengemukakan tawaran pembaharuan kontrak kepada Saliba. Mereka cuba memperbaharui perjanjian tersebut lebih awal, sebelum masuk tahun-tahun akhir kontrak.
Arsenal menetapkan suatu tarikh akhir dalaman di mana mereka mahu penyelesaian kontrak berlaku dalam akhir tahun ini supaya tidak berada dalam situasi di mana Saliba tinggal hanya satu tahun kontrak dan potensi tawaran pihak lain menjadi mudah.