“Hari ini, saya memilih jalan di mana saya merasa kedamaian yang sebenar.”
Itulah pengakuan ikhlas bintang Real Madrid, Brahim Diaz, selepas mengambil keputusan memeluk Islam, langkah yang memberinya ketenangan dan kepuasan rohani.
Sebelum ini, Brahim lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjayanya di padang dan jarang berkongsi tentang soal agama. Namun, kini pemain berusia 26 tahun itu membuka hati mengenai perjalanan keimanannya.
Kelibat Brahim kelihatan dalam majlis berbuka puasa anjuran Pusat Kebudayaan Islam Madrid, dan Imam Adil Hachmi mengesahkan bahawa Brahim turut menunaikan solat bersama beliau.
Brahim mendedahkan alasan di sebalik pilihannya, “Saya memilih Islam atas dasar keyakinan dan keimanan serta saya berdoa kepada Tuhan agar saya tabah dan membimbing saya di jalan yang benar. Keputusan ini bukan mudah tetapi ia datang dari lubuk hati saya dan alhamdulillah atas nikmat Islam", ujarnya.
Di atas padang, Brahim terus cemerlang bersama Real Madrid dengan 147 penampilan, 21 gol, dan 26 bantuan gol sejak menyertai kelab itu. Kini, di luar padang, dia menemui kedamaian baru melalui keimanannya.