Malaysia diundi bertemu Indonesia dalam Kumpulan B saingan ASEAN Futsal Championship 2026, sekali gus menghangatkan pertembungan dua negara jiran yang sentiasa mencuri tumpuan.
Cabutan undi yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyaksikan skuad kendalian Addie Azwan Zainal bakal berdepan laluan mencabar, dengan Indonesia dilihat sebagai ujian terbesar peringkat kumpulan.
Indonesia hadir ke kejohanan ini dengan status naib juara Piala Asia Futsal 2026, sekali gus meletakkan diri mereka antara pasukan pilihan.
Selain seteru tradisi itu, Malaysia turut dijadual menentang Australia yang kini menghuni ranking ke-51 dunia, satu lagi cabaran getir buat skuad negara.
Dua lagi pasukan yang melengkapkan Kumpulan B ialah Kemboja dan Brunei, menjadikan persaingan lima penjuru ini cukup terbuka dan kompetitif.
Sementara itu, Kumpulan A mempertemukan tuan rumah Thailand bersama Vietnam, Myanmar dan Timor Leste. Thailand kini dibimbing bekas jurulatih Malaysia, Rakhpol Sainetngam, yang pastinya turut mencuri perhatian.
ASEAN Futsal Championship 2026 akan berlangsung di Nonthaburi, Thailand dari 5 hingga 13 April ini.