Beberapa pertubuhan hak asasi manusia menggesa FIFA memastikan Piala Dunia FIFA 2026 dianjurkan secara inklusif dan selamat.
Mereka memberi amaran bahawa dasar imigresen Amerika Syarikat serta isu kebebasan media berpotensi menjejaskan perjalanan kejohanan itu.
Gabungan pertubuhan yang dikenali sebagai Sport & Rights Alliance menyatakan badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini sudah berjanji untuk menganjurkan Piala Dunia yang “selamat, mesra dan inklusif” berdasarkan kerangka hak asasi manusia yang digariskan oleh FIFA.
Namun menurut gabungan tersebut, retorik politik dan pendekatan dasar imigresen semasa di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump boleh menimbulkan kebimbangan kepada penyokong, wartawan serta komuniti tertentu yang mahu hadir menyaksikan kejohanan berprestij itu.
Mereka menegaskan bola sepak sepatutnya menjadi platform yang menyatukan masyarakat dari seluruh dunia. Namun situasi seperti sekatan visa dan tindakan pengusiran besar-besaran boleh menyebabkan pendatang, pekerja, wartawan serta penyokong tidak dapat memasuki AS bagi menghadiri kejohanan berkenaan.
Untuk edisi kali ini, Piala Dunia FIFA 2026 akan menampilkan format baharu dengan 48 pasukan bertanding. Kejohanan tersebut dijadual berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dengan aksi diadakan di 16 bandar.
Ketika diminta mengulas isu berkenaan, pihak Rumah Putih memaklumkan kerajaan memberi tumpuan penuh bagi memastikan kejohanan tersebut berjalan lancar dan berjaya dianjurkan.
Jurucakap Rumah Putih, Davis Ingle berkata pentadbiran Presiden Donald Trump mahu memastikan Piala Dunia kali ini menjadi kejohanan paling berjaya serta paling selamat dalam sejarah penganjurannya.
Dalam masa sama, gabungan hak asasi itu turut menggesa FIFA bekerjasama rapat dengan kerajaan negara tuan rumah bagi menjamin akses kepada penyokong dan media, selain memastikan hak seperti kebebasan bersuara, kebebasan media serta perlindungan terhadap pekerja dan komuniti tempatan terus dihormati sepanjang kejohanan berlangsung.