Bintang Arsenal, Jurrien Timber, tanpa sedar mungkin telah mencetuskan rasa panik di kem Feyenoord minggu ini gara-gara kenyataannya mengenai saudara kembarnya, Quinten Timber.
Menurut laporan Soccer News yang memetik wartawan Feyenoord, Mikos Gouka (Algemeen Dagblad), komen pemain pertahanan Arsenal itu ketika tugasan antarabangsa bersama Belanda jelas mengundang kegusaran besar di Rotterdam.
Isunya mudah - Quinten kini berada di tahun terakhir kontraknya bersama Feyenoord.
Hasrat kelab untuk menjualnya pada musim panas lalu gagal, membuatkan mereka kini berdepan risiko kehilangan pemain tengah itu secara percuma.
Bagi Feyenoord, pilihan terbaik adalah memujuk Quinten tandatangan kontrak baharu dengan klausa pelepasan, supaya mereka masih mampu kaut dana perpindahan jika ada kelab lain yang mahu membawanya keluar.
Namun, setakat ini, tiada persetujuan dicapai.
Apa yang merumitkan lagi keadaan adalah kata-kata Jurrien di padang latihan Zeist baru-baru ini:
“Setahun lagi di Feyenoord pun bagus juga,” katanya mengenai masa depan kembarnya itu.
Kenyataan itu seolah-olah mengisyaratkan bahawa Quinten akan kekal semusim lagi… sebelum angkat kaki secara percuma.
Menurut Gouka, ia pasti membuatkan pengurusan Feyenoord – khususnya pengarah umum Dennis te Kloese - sakit kepala, kerana senario itu boleh merugikan kelab hampir €12-15 juta.
Kini, semua mata tertumpu sama ada Feyenoord mampu ‘ikat’ Quinten dengan kontrak baharu atau terpaksa berdepan mimpi ngeri kehilangan bintang mereka tanpa sebarang sen.